Bas kuasa elektrik mula operasi di Singapura

105

30 OKT: Selepas berjaya melancarkan 50 buah bas awam jenis hibrid elektrik pada 2017 lalu, kini Singapura mula memperkenalkan bas awam dua tingkat dengan janaan elektrik sepenuhnya.

Stesen penyiaran milik pemerintah, Channel NewsAsia melaporkan, sebanyak 10 buah kenderaan itu beroperasi sejak 27 Oktober sebagai sebahagian usaha Lembaga Pengangkutan Darat (LTA).

Ia akan disusuli dengan baki 50 buah lagi sepanjang tahun depan sebelum penggantian kesemua ribuan bas awam jenis diesel di seluruh republik itu kepada lebih mesra alam menjelang 2040.

Operasi 60 buah bas elektrik dua aras itu bakal mengatasi pengeluaran gas karbon sebanyak 7,840 tan setahun yang bersamaan dengan gas karbon dilepaskan oleh sejumlah 1,700 kereta persendirian.

Selain mampu atasi pencemaran udara, bas berkuasa elektrik ini juga boleh megurangkan kadar bising dalam persekitaran yang lebih senyap berbanding bas diesel biasa Euro 6 sebanyak tiga desibel.

Bateri fosfat besi lithium yang digunakan oleh bas baharu ini juga mampu menahan suhu panas yang tinggi, sekali gus meningkatkan keselamatan komuter daripada risiko kebakaran, kata LTA.

Bagaimanapun disebabkan saiz baterinya agak besar, kapasiti bas elektrik dua tingkat itu hanya boleh diisi sehingga 120 penumpang iaitu kurang 10 peratus daripada muatan bas diesel yang sedia ada.

Justeru, pihak LTA berharap dengan kemajuan teknologi canggih masa depan, saiz bateri ini boleh dikecilkan ataupun tenaga alternatif lain dapat digunakan untuk model bas awam akan datang.

Kumpulan bas elektrik itu dikeluarkan dengan harga S$50 juta (RM153 juta) dari tiga konsortium iaitu Yutong-NARI dan firma BYD berpusat di China serta sebuah syarikat Singapura, ST Engineering.

Ketika ini, Singapura ada sejumlah 5,800 buah bas awam berkuasa diesel yang setiap hari mengangkut hampir empat juta penumpang di lebih 4,000 buah hentian bas tetap seluruh negara itu.

Ia dikendalikan oleh empat syarikat operator pengangkutan awam meliputi lebih 300 laluan yang berbeza sebagai alternatif sokongan kepada sistem perkhidmatan tren MRT dan rel ringan LRT.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.