799 kes baru, 3 kematian dan 90 di ICU

314

30 OKT: Kes baru COVID-19 kembali meningkat hari ini apabila sebanyak 799 penularan dilaporkan dengan Sabah dan Selangor terus mencatatkan tiga angka kes baru.

Seperti sebelumnya, Sabah terus merekodkan kes tertinggi di seluruh negara dengan 466 kes manakala Selangor pula merekodkan 150 kes.

Hari ini juga melaporkan pertambahan tiga kes kematian dan lapan lagi kluster termasuk di luar Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, turut melaporkan kes yang tinggi hari ini ialah Labuan dengan 65 kes diikuti Pulau Pinang, 35 kes.

“Kes sembuh yang dilaporkan hari ini berjumlah 491 kes dan dengan perkembangan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 berjumlah 10,392 kes dan mereka telah diasing untuk rawatan.

“Daripada jumlah itu, 90 individu disahkan positif kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 20 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurut Noor Hisham, kes kumulatif kematian kini bertambah kepada 249 kes apabila tiga lagi kes baru dilaporkan.

Katanya, ketiga-tiga kes kematian dilaporkan di Sabah melibatkan Hospital Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

“Sementara itu, kesemua penularan kes COVID-19 adalah kes tempatan dan jumlah keseluruhan penularan kini merekodkan 30,889 kes.

“Pada hari ini juga, empat negeri merekodkan sifar kes iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Melaka,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, 133 lagi kluster dikategorikan sebagai aktif termasuk lapan yang baru.

“Mengenai pertambahan kes baru di Selangor hari ini, 40 daripadanya melibatkan kluster-kluster sedia ada manakala 76 daripada kluster-kluster baharu iaitu Merpati dan Astaka.

“Sebanyak 22 kes lagi dilaporkan daripada kontak rapat kes dan baki 12 adalah lain-lain saringan COVID-19,” katanya. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.