553 individu ditahan ingkar arahan PKPP

48

30 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 553 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 532 individu telah dikompaun dan 21 orang direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (165), tidak memakai pelitup muka (153), penjarakan fizikal (87), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (37), aktiviti pusat hiburan (18) dan kesalahan lain (93),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menambah, seramai 46 pendatang asing tanpa izin ditahan (PATI) dan lima kenderaan darat dirampas oleh pasukan keselamatan dalam Ops Benteng semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 10,896 operasi sanitasi awam merangkumi 137 zon dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

“Semalam, sebanyak 22 operasi sanitasi meliputi 11 Zon Merah, tujuh Zon Kuning dan satu Zon Hijau di enam negeri iaitu Sabah (10 operasi), Melaka (4 operasi), Pulau Pinang (3 operasi), Terengganu (3 operasi), Kuala Lumpur (1 operasi) dan Labuan (1 operasi).

“Operasi Sanitasi ini melibatkan 119 anggota dan 14 jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 176 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 38 dari agensi-agensi lain,” jelasnya.

Berhubung kuarantin wajib, menurut beliau, dari 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 57,396 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,221 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 63 Hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan,” katanya.

“381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 47,794 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.