Tren tergelincir di Segamat, penumpang selamat

64

29 OKT: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes kereta api tergelincir berhampiran Stesen Genuang, Segamat, awal pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Kamarulzaman Zainal, berkata tren berkenaan yang membawa 10 penumpang berkenaan dalam perjalanan dari Stesen Gemas ke Stesen Johor Bahru Sentral sebelum dilaporkan tergelincir di KM 595, di Genuang kira-kira jam 2.40 pagi tadi.

“Kejadian hanya membabitkan dua koc gerabak penumpang dan sebuah lokomotif. Bagaimanapun semua 10 penumpang dan kakitangan KTMB terselamat.

“Landasan utama masih boleh digunakan dan tidak menghalang perkhidmatan tren lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamarulzaman berkata, kejadian menyebabkan kelewatan bagi sektor selatan antara Gemas dan Johor Bahru kerana semua tren yang melalui kawasan itu diarah memperlahankan kelajuan.

Katanya, KTMB menyediakan kenderaan alternatif bagi membolehkan semua penumpang meneruskan perjalanan ke Stesen Johor Bahru Sentral manakala usaha baik pulih giat dijalankan di lokasi kejadian.

“Siasatan terperinci sudah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian membabitkan badan di bawah Kementerian Pengangkutan termasuk APAD,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.