RM65 juta disalur Agrobank bantu usahawan mikro

78

29 OKT: Usahawan mikro dan komuniti B40 di seluruh negara yang terjejas akibat COVID-19 memperoleh pembiayaan sebanyak RM65.26 juta melalui Skim Agro Makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sejak dilancarkan pertengahan tahun ini, bantuan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disalur melalui Agrobank itu telah memberi manfaat kepada seramai 7,855 usahawan agro.

“Selain skim ini, Agrobank turut menawarkan penyusunan semula atau menjadual semula kemudahan pembayaran usahawan yang terjejas tanpa menjejaskan status CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat) mereka dan permohonan kemudahan ini dibuka hingga Jun 2021.

“Selain itu, untuk mereka yang tiada atau kehilangan pekerjaaan akibat COVID-19, pihak kementerian juga menawarkan program ‘My Future Agro’ kepada mereka yang berminat dalam bidang agromakanan dan pertanian serta latihan di syarikat-syarikat terpilih,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke projek usahawan agro yang menerima pembiayaan daripada Agrobank di Kampung Kok Seraya, Wakaf Bharu dan di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas.

Mengambil contoh syarikat di Kampung Kok Seraya yang mengusahakan perniagaan pemprosesan beras, Che Abdullah berkata, syarikat milik bumiputera itu memanfaatkan pembiayaan di bawah skim berkenaan untuk membeli peralatan dan mesin serta mengubah suai kilang.

Menurut beliau perniagaan diusahakan empat beradik itu kini mampu meningkatkan pengeluaran kepada 30 tan metrik sehari berbanding 10 hingga 20 tan metrik sehari sebelum ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.