Lima lagi kluster baru dilapor, dua di Selangor

467

29 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sebanyak lima lagi kluster COVID-19 hari ini termasuk dua di negeri Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama ialah Kluster Sakti di Lahad Datu yang dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 5 Oktober 2020.

Katanya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 17 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 154 individu telah disaring dengan 18 kes dikesan positif COVID-19 dan 35 individu masih menunggu keputusan.

“Kluster kedua ialah Kluster Tuguson di daerah Kota Belud dengan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Kota Belud.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 17 lagi kes positif COVID-19 dan sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 146 individu telah disaring dengan 18 kes dikesan positif COVID-19 dan 128 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tambah Noor Hisham, dua lagi kluster dilaporkan di Selangor iaitu Kluster Bah Medan dan Kluster Taman Laut.

Katanya, Kluster Bah Medan melibatkan daerah Sepang dengan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan pulang dari Sabah pada 3 Oktober 2020.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 19 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Sehingga jam 12 tengah hari, sejumlah 52 individu telah disaring, di mana 20 kes dikesan positif COVID-19 dan
32 individu masih menunggu keputusan,” jelasnya.

Bagi Kluster Taman Laut, katanya, ia melibatkan daerah Petaling dan kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 21 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Ujarnya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak lima lagi kes positif COVID-19 dan sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 123 individu telah disaring, di mana enam kes dikesan positif dan 99 individu masih menunggu keputusan.

“Kluster kelima ialah Kluster Taman Bunga melibatkan daerah Seremban, Kuala Pilah dan Jelebu di Negeri Sembilan.

“Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 25 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 22 lagi kes positif COVID-19. Sehingga 29 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 55 individu telah disaring, di mana 23 kes dikesan positif COVID-19 dan tujuh individu masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut beliau, 32 kluster aktif melaporkan penambahan kes baru COVID-19 termasuk Kluster Utama di daerah Petaling yang mencatatkan tiga lagi kes hari ini.

“Keseluruhannya kluster ini mencatatkan 234 kes positif COVID-19 hari ini.

“Kluster Hentian di Hulu Langot pula melaporkan enam kes baru. Kluster ini yang telah melibatkan beberapa daerah melaporkan 104 kes COVID-19 setakat ini,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.