COVID-19: Eropah bersedia perintah berkurung

67

29 OKT: Kenaikan mendadak jangkitan COVID-19 di Eropah menyebabkan negara-negara di benua itu bersiap sedia mengenakan langkah kawalan pergerakan lebih ketat termasuk perintah berkurung di rumah.

Malah pemimpin Kesatuan Eropah (EU) akan mengadakan sidang kemuncak video hari ini untuk membincangkan krisis itu.

Ia adalah perjumpaan pertama dalam beberapa siri terhadap seruan bagi meningkatkan koordinasi untuk melawan virus.

Perancis misalnya bersedia memulakan perintah berkurung selama sebulan, manakala Jerman akan mengenakan langkah pencegahan drastik.

Pandemik itu turut mencatat kenaikan jangkitan mendadak di seluruh dunia dengan dengan ratusan ribu jangkitan sehingga merekodkan jangkitan global melebihi 44 juta, dan hampir 1.2 juta kematian.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron bimbang dengan peningkatan jangkitan di Eropah, memaksa kerajaan menimbangkan untuk mengeluarkan perintah berkurung di rumah kepada rakyat.

Melalui ucapan yang disiarkan televisyen negara itu, Macron menekankan bahawa perintah berkurung kali ini adalah lebih teruk daripada yang pertama dilaksanakan di negara itu.

“Kita semua di Eropah dikejutkan dengan penyebaran virus ini.

“Bar dan restoran akan ditutup sehingga sekurang-kurangnya awal Disember, perjalanan antara wilayah akan dihadkan dan warganegara memerlukan kebenaran bertulis untuk meninggalkan kediaman mereka,” katanya.

Bagaimanapun rumah penjagaan (bagi bayi dan kanak-kanak), sekolah, kilang dan tapak pembangunan akan tetap dibuka.

Di Jerman, Canselor Angela Merkel mengarahkan penutupan peringkat baharu mulai Isnin ini sehingga akhir bulan, walaupun negara itu tidak menguatkuasakan perintah berkurung di rumah.

Bar, kafe dan restoran diarahkan ditutup, begitu juga dengan teater, opera dan pawagam manakala operasi hotel dihadkan dan liga bola sepak Bundesliga dijalankan secara tertutup.

Ireland juga sudah mengenakan perintah berkurung sejak minggu lalu, dan keputusan Perancis serta Jerman kemungkinan akan memberikan tekanan kepada negara lain untuk mengikutinya, termasuk Britain.

Salah satu kebimbangan terbesar bagi kerajaan adalah kemarahan masyarakat terhadap risiko kepada ekonomi, sosial dan psikologi ke atas mereka kesan daripada perintah berkurung.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.