Contohi Rasulullah menyatupadukan umat

109

29 OKT: Ahli-ahli politik di negara ini perlu bersatu padu dan menyokong penuh usaha kerajaan sedia ada dalam mengatasi masalah penularan wabak Covid-19.

Justeru itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru akhlak mulia dan kebijaksanaan Rasulullah SAW di dalam menyatupadukan umat dijadikan contoh oleh ahli-ahli politik.

Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maulidur Rasul tahun 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia bertitah, rakyat sedang berhadapan dengan kemelut ekonomi yang merudum akibat wabak ini.

“Ahli-ahli politik bersatu dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi memastikan rakyat terus hidup aman damai, makmur dan harmoni.

“Perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan adalah amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan dan mendaulatkan negara,” titah Sultan Selangor yang disiarkan di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Dalam pada itu, baginda juga bertitah, seluruh rakyat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam seperti mana yang diajar dan dibimbing oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

”Baginda Rasullah SAW adalah seorang insan mulia dan agung yang merupakan anugerah Allah kepada umat manusia di mukabumi ini. Baginda merupakan seorang Khalifah kepada sekalian umat yang mengajar manusia tentang persaudaraan, akhlak yang mulia serta erti kehidupan yang sebenarnya,” titah Sultan Saharafuddin.

Tambah baginda, sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, umat Islam perlu terus menghayati dan menghidupkan dua peninggalan Rasulullah SAW iaitu al-Quran dan As-Sunah dalam kehidupan harian. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.