Selepas seruan Agong, harap tiada siapa nak sabotaj bajet

71

29 OKT: Ahli-Ahli Parlimen khususnya pembangkang diharap menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan supaya memberikan sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata walaupun tidak menjadi kesalahan buat Ahli Parlimen untuk tidak mematuhi titah ini namun demi rakyat gencatan politik harus diketepikan dan dipandang serius demi mengelakkan ketidak stabilan politik yang membawa mudarat besar kepada rakyat dan negara.

Beliau turut mengharapkan agar Pakatan Harapan (PH) tidak melakukan “sabotaj’ terhadap Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada November depan bagi memastikan segala bantuan dan pembangunan ekonomi dapat direalisasikan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin akan berlaku kemungkinan boleh berlaku sesuatu yang berbeza seperti diseru Seri Paduka Baginda. Diharap dipatuhi walau bukan menjadi suatu kesalahan undang-undang ada pihak tertentu mahu buat pendirian mereka sendiri kerana hak itu dijamin bagi seorang ahli dewan namun kita berharap seruan Agong diberi perhatian serius.

“Kalau ketidakstabilan itu tidak dikawal buat masa ini ia boleh membawa situasi di mana kerjaan tidak dapat berbuat apa-apa terhadap penularan yang berbahaya ini. Kena fokus bekerja buat rakyat supaya rakyat senang hati.

“Bukan asyik bercakap pasal siapa yang akan pegang jawatan kerana rakyat amat menyampah dan kita pun menyampah. Jadi, tak perlu utamakan perebutan kuasa jawatan ini. Jangan berlebih-lebih sangat berpolitik di Malaysia ini,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Komuniti Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menitahkan kepada Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan, meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak COVID-19 daripada terus merebak.

Dalam pada itu, Annuar yang merupakan Menteri Wilayah Persekekutuan tetap pendirian menegaskan Mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Isnin lalu tidak berbincang dan memutuskan calon dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO untuk diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM)

Beliau berharap agar isu ini dihentikan bagi memberikan ruang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memfokuskan isu rakyat dan jika terdapat keperluan jawatan itu, digesa agar pemimpin-pemimpin tidak memberi tekanan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

“Biarlah orang kita nak berpolemik namun tak timbul soal calon. Cuba kita tenang dan kurangkan politik dan bahawasanya jawatan TPM adalah hak mutlak sesiapa yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

“Beri ruang seluas-luasnya kepada Perdana Menteri tanpa sebarang tekanan jika beliau memerlukan TPM di sisinya. Takkan nak jawatan perlu nak menekan, mengugut dan bermacam-macam. Itu adalah hak beliau dan tidak salah untuk beri pandangan dan syor namun jangan lakukan seolah-olah wujudnya tekanan untuk jawatan TPM,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.