Agong bangga dedikasi Cikgu Sam hingga jadi finalis Guru Global

165

29 OKT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Samuel Isaiah, guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan Runchang di Muadzam Shah, Pahang, di atas kejayaannya terpilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas dedikasi serta usaha murni guru muda dari Kuantan dalam mendidik murid-murid sehingga terpilih sebagai calon untuk menerima anugerah tersebut, yang sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Semoga pencapaian hebat dan komitmen beliau menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Ini khususnya para guru dalam memberi yang terbaik dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia,” titah Seri Paduka menerusi kenyataan di Facebook Istana Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Samuel dan mendoakan semoga beliau memenangi anugerah tersebut serta dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, menurut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, Samuel dipilih daripada 12,000 pencalonan dari lebih 140 negara.

Anugerah yang menawarkan hadiah US$1 juta (RM4.16 juta), adalah program pengiktirafan guru dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Samuel telah memperkenalkan pelbagai inovasi untuk memberi inspirasi kepada murid-murid beliau yang terdiri daripada Orang Asli untuk menyimpan impian yang besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar.

Antara program diperkenalkan oleh beliau ialah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’, yang mana para murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dalam dan luar negara.

Manakala, program ‘Speak Up With Poetry’ (Bersuara dengan Puisi) yang diperkenalkan oleh Samuel pula ialah projek kerjasama beliau dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli dan kemudiannya murid-murid boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Sejak pengenalan pelbagai program oleh beliau, purata kadar lulusan mata murid bahasa Inggeris di sekolah berkenaan meningkat dari 30 peratus pada 2012 kepada 80 hingga 85 peratus pada tahun 2015-2018.

Tahun lalu, Samuel telah dinobatkan penerima anugerah Guru Adiwira 2019. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.