649 kes baru, kali pertama rendah dari kes sembuh

303

29 OKT: Buat kali pertama dalam tempoh gelombang ketiga, Malaysia hari ini mencatatkan bilangan kes pulih COVID-19 mengatasi jumlah kes baru wabak tersebut.

Ini apabila kes sembuh mencatatkan sebanyak 685 kes berbanding kes baru COVID-19 sebanyak 649 kes.

Hari ini juga menyaksikan tiada pertambahan kes kematian akibat virus tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 649 penularan baru hari ini, negeri Sabah mencatatkan sebanyak 352 kes baru yang bersamaan 54.2 peratus daripada jumlah kes.

Menurut beliau, negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 159 kes atau 24.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dengan Selangor masih mencatatkan tiga angka melibatkan 132 kes.

Katanya, keempat-empat negeri ini yang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah menyumbang sebanyak 511 kes atau 78.7 peratus daripada jumlah harian kes positif COVID-19 secara keseluruhan.

“Hari ini juga menyaksikan sebanyak 36 kes yang berkaitan kluster-kluster penjara dilaporkan iaitu 34 kes daripada Kluster Tembok dan dua kes daripada Kluster Penjara Reman.

“Secara keseluruhannya, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 30,090 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,087 kes,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, daripada 649 kes baharu hari ini, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan dua warganegara dan lima bukan warganegara.

Katanya, lima daripada kes import melibatkan penularan dari Indonesia manakala India dan Filipina masing-masing satu kes.

“Sehingga kini, terdapat 106 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 246 kes,” jelasnya.

Katanya, turut melaporkan kes COVID-19 hari ini ialah Negeri Sembilan dengan 43 kes, diikuti Kedah (37, Kuala Lumpur (21), Labuan, (17) Pulau Pinang (13), Johor (10), Sarawak (8) dan Perak, lima kes.

“Pahang, Melaka, Putrajaya dan Terengganu masing-masing mencatatkan satu kes.

“Negeri sifar kes baru COVID-19 ialah Perlis dan Kelantan.,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.