549 ditahan ingkar PKP, 34 buka premis lebih masa

55

29 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 549 individu termasuk 547 daripadanya dikompaun dan dua lagi direman semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (188), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (154), penjarakan fizikal (79), premis beroperasi lebih masa (34), aktiviti di pusat hiburan (9) dan lain-lain (85).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tangkapan berkenaan dilakukan oleh 3,116 Pasukan Pematuhan yang membabitkan 10,960 anggota yang membuat pemantauan di 3,541 pasar raya, 4,640 restoran dan 1,391 penjaja.

Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata, pasukan berkenaan turut melakukan pemantauan terhadap 1,306 kilang, 3,450 bank dan 569 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, katanya, sebanyak 929 terminal pengangkutan darat, 295 terminal pengangkutan air serta 75 terminal pengangkutan udara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengesahkan pihak berkuasa berjaya menahan 14 pendatang tanpa izin (PATI) dan merampas satu bot serta enam kenderaan darat dalam Ops Benteng bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak COVID-19.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata seramai 56,699 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 65 Hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan sejak 24 Julai sehingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 9,523 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan termasuk 46,795 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

“Mereka telah pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.