Tumpahan minyak cemar alur air Kg Baru Balakong

33

28 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menyiasat aduan pencemaran bau akibat tumpahan minyak di alur air Jalan KB1/9 Kampung Baru Balakong, Kajang, petang semalam.

LUAS dalan satu kenyataan menerusi Facebook hari ini memaklumkan, siasatan awal mendapati bahan pencemaran seperti sisa minyak enjin terpakai dibuang ke dalam alur air berkenaan.

“Hasil maklumat orang awam pada jam 6 petang semalam, kita buat pemeriksaan dan turut mendapati sisa buangan itu akan mengalir ke Sungai Balak dan Sungai Langat.

“Pihak LUAS menjalankan pensampelan dan sedang mengambil tindakan kawalan termasuk meletakkan ‘oil pad’ dan ‘oil boom’ di lokasi pembuangan bagi menghalang aliran minyak ke alur Sungai Balak.

“Lokasi pembuangan minyak itu adalah kawasan bertakung dan disyaki pembuangan haram oleh pihak ketiga,” kata LUAS.

Balakong
Kerja-kerja membersih tumpahan minyak dijalankan malam tadi.

Menurut kenyataan itu, LUAS dengan kerjasama agensi berkaitan akan menjalankan pemantauan di lokasi kejadian, Sungai Balak dan Sungai Langat dari semasa ke semasa.

“Perbincangan membabitkan pegawai LUAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Kajang dan agensi berkaitan di tapak dan perkembangan lain akan dimaklumkan kemudian,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.