Tiga hospital tempatkan 424 pesakit COVID-19 di NS

175

28 OKT: Seramai 424 orang pesakit COVID-19 ditempatkan di tiga buah hospital di Negeri Sembilan berikutan peningkatan kes di negeri itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada jumlah itu, 234 orang ditempatkan di Hospital Tuanku Jaafar manakala 120 orang pula di Hospital Rembau dan selebihnya iaitu 70 orang di Hospital Tampin.

Justeru itu, menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) akan sentiasa bekerjasama dengan agensi lain di negeri itu dalam menangani isu COVID-19.

“Pada hari ini, Akademi Imigresen Malaysia di Port Dickson yang mempunyai 200 katil akan dibuka sebagai Pusat Rawatan COVID-19 berisiko rendah.

“Pihak JKNNS juga mengambil berat mengenai rawatan pesakit non-COVID (bukan pesakit COVID-19),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Oleh itu, Aminuddin memberitahu perancangan juga telah dibuat dan sedang dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan untuk pesakit non-COVID di Negeri Sembilan tidak terjejas.

Semalam, sebanyak 155 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan.

Angka tersebut menjadikan Negeri Sembilan mencatatkan jumlah kedua tertinggi kes positif Covid-19 di negara ini selepas Sabah yang mencatatkan 410 kes positif.

Angka 155 kes positif tersebut juga merupakan angka tertinggi pernah dicatatkan dalam sehari di negeri ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 1,492 kes.

Daripada 155 kes baharu berkenaan, sebanyak 148 kes merupakan kes tempatan dan baki tujuh lagi kes merupakan kes import B iaitu merentas negeri dan mendapat jangkitan dari negeri lain.

Daripada 155 kes baharu berkenaan, 153 kes membabitkan kes di daerah Seremban iaitu di Mukim Labu dengan 126 kes saringan Kluster Kaya (tempatan), 16 kes saringan Kluster Kaya (import B), satu kes saringan pra pembedahan (tempatan), satu kes saringan bergejala (tempatan) dan satu kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19 (tempatan).

Manakala, di Mukim Rasah, penambahan dua kes saringan Kluster Kaya (import B) dan satu kes kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19 (tempatan).

Di Mukim Setul, terdapat penambahan dua kes saringan Kluster Kaya (Import B) manakala di Mukim Seremban, penambahan satu kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19 (tempatan).

Di Mukim Rantau dan Ampangan, masing-masing penambahan satu kes saringan Kluster Kaya (Import B).

Di Rembau iaitu di Mukim Titian Bintangor mencatatkan penambahan satu kes hasil saringan Kluster Bah Layangan (tempatan).

Di daerah Port Dickson pula Mukim Jimah mencatatkan penambahan satu kes kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19 (Import B).

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, 1,078 kes telah sembuh dan discaj, 406 kes masih menerima rawatan di wad dan lapan lapan kes telah meninggal dunia. – Oleh-AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.