Salur bantuan tambahan golongan mudah terjejas

231

28 OKT: Kerajaan seharusnya mempertimbangkan bantuan kewangan tambahan kepada golongan B40 dan M40 yang semakin terbeban terutamanya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pakej rangsangan ekonomi negara sebelum ini terbukti berjaya meringankan beban rakyat dan menjamin aliran tunai perniagaan, namun telah berakhir di masa yang genting ini.

Menurut beliau, inisiatif Program PENJANA juga perlu dilanjutkan terutamanya buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) demi mengekalkan pekerja dan mengelakkan peningkatan kadar pengangguran.

“Gelombang ketiga COVID-19 kini dijangkakan akan melambatkan pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama 2021. Justeru, saya berharap kerajaan Malaysia akan meningkatkan usaha memulihkan ekonomi dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan dinamik.

“Kita tidak boleh melengahkan masa dengan persoalan pertumbuhan ekonomi. Vietnam dijangka akan memintas negara Malaysia pada tahun 2020 untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di Asia Tenggara, di samping menjadi antara negara yang terbaik di rantau ini untuk pelaburan,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Justeru itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, usaha harus dipergiatkan bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi dengan membenarkan demokrasi berfungsi, pelaburan terpilih diberikan insentif khas serta sempadan dibuka dengan protokol kesihatan yang ketat dan syarat melakukan perniagaan dipermudahkan lagi.

“Keyakinan perniagaan dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bergantung besar kepada konsistensi dan kejelasan polisi sedia ada.

“Setiap polisi dan dasar kerajaan dalam memerangi pandemik ini perlu wajar, berasaskan bukti saintifik, mengambil kira kepentingan awam dan tidak mengelirukan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap agar kerajaan Malaysia mempertimbangkan pembentukan sistem amaran berperingkat yang lengkap dan konsisten sebagai pengganti pengumuman pengubahsuaian prosedur operasi standard (SOP) pada saat terakhir.

Tambah beliau, sistem amaran berperingkat seperti yang dijalankan di beberapa negara lain akan memaparkan perbezaan tahap kecemasan dalam krisis COVID-19 berasaskan nombor pembiakan virus dan jumlah kes yang disahkan.

“Setiap peringkat amaran ini mempunyai protokol dan sekatan yang tetap dan tidak akan diubahsuai sewenang-wenangnya, terutamanya dari segi SOP di tempat kerja.

“Protokol yang ditetapkan juga mestilah melalui proses rundingan dengan pihak berkepentingan dengan mengambil kira keseimbangan antara kelestarian perniagaan dan kesihatan pekerja.

“Saya mengulangi pendirian saya bahawa pandemik ini hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada Perlembagaan negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.