Melaka tangguh semua acara rasmi

61

28 OKT: Semua penganjuran majlis dan acara rasmi Kerajaan Melaka ditangguhkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka yang bersidang pada 23 Oktober lalu memutuskan pelaksanaan penangguhan itu hingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Keputusan ini adalah berdasarkan laporan peningkatan kes baharu COVID-19 di Melaka dan makluman Jabatan Kesihatan negeri mengenai kemungkinan akan berlaku penularan wabak dalam komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri percaya kemudahan kesihatan di Melaka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk gelombang wabak itu.

Namun, katanya, kerajaan negeri mahu semua pihak sentiasa mematuhi arahan ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia meliputi sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal, tidak bersentuhan termasuk bersalaman, mengelak daripada berada di tempat sesak dan sempit, serta memakai pelitup muka di kawasan awam.

“Diharap semua pihak memberi kerjasama bagi memastikan penularan wabak ini dapat dihentikan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.