Lebih 500 individu langgar SOP PKPP

48

28 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 508 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 501 individu telah dikompaun, manakala 6 individu lagi direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (160), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (113), penjarakan fizikal (97), premis beroperasi lebih masa (33), aktiviti di pusat hiburan (10) dan kesalahan lain (95),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menambah, tiga negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi individu yang dikompaun atas kesalahan ingkar arahan PKPP adalah Kuala Lumpur (192 individu), Selangor (155) dan Sabah (36).

Ismail Sabri memberitahu, sejak 1 Mei lalu, sebanyak 1,073 pemantauan udara telah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Gerakan Udara PDRM bagi mengekang kemasukan PATI di kedua-dua negeri berkenaan.

“Selain itu, sebanyak 22 siri rondaan Maritim melibatkan 54 Inisiatif Bertanya Khabar (IBK), 64 pemeriksaan serta penggeledahan telah dibuat,” jelasnya.

Beliau menambah, dalam Op Benteng semalam, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga kenderaan darat.

Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 10,838 operasi sanitasi merangkumi 136 zon.

Semalam, sebanyak 38 operasi sanitasi dijalankan meliputi 10 Zon Merah, 11 Zon Kuning dan 8 Zon Hijau di 13 negeri. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.