JK khas bantu pekerja Malaysia di Singapura

31

28 OKT: Kementerian Sumber Manusia menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas bagi membangunkan pangkalan data yang komprehensif mengenai pekerja Malaysia di Singapura.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, objektif penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk mengenal pasti strategi dan pelan tindakan dalam usaha membantu mereka yang terkesan.

Menurut beliau, antara kementerian dan agensi yang akan menganggotai Jawatankuasa ini adalah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Unit Perancangan Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri (EPU).

M SARAVANAN
M SARAVANAN

Agensi-agensi lain adalah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kerajaan negeri Johor, Institut Maklumat & Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Mesyuarat Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia dan mesyuarat pertama dijangka diadakan pada 30 Oktober 2020,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rakyat Malaysia yang kini bekerja di Singapura dianggarkan seramai 400,000 orang dengan hampir 100,000 daripada mereka berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu.

Manakala, 300,000 orang lagi menetap di Singapura.

Penularan wabak COVID-19 dan peningkatan kes di Singapura menyebabkan ramai pekerja Malaysia di negara itu mulai terjejas apabila sebilangan majikan memberi notis penutupan sementara syarikat, antara dua minggu dan sebulan bermula Februari lalu.

Penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan berlakunya peningkatan statistik pemberhentian kerja rakyat Malaysia di Singapura. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.