Henti politik melampau, Bersatu Sabah puji Bung Moktar

543

28 OKT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyifatkan politiking melampau akan mengundang kebencian rakyat terhadap pemimpin politik.

Justeru itu, Ketua Penerangannya, Khairul Firdaus Akbar berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu dijadikan panduan demi penyelesaian demi rakyat.

Menurut beliau, pemimpin politik wajar memberikan dan memfokuskan perancangan untuk membangunkan masyarakat di dalam keadaan pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara.

“Kerjasama dan perpaduan di antara pemimpin pembangkang juga harus dipergiatkan lagi demi rakyat Sabah supaya segala agenda pembangunan dapat berjalan dengan jayanya di negeri ini.

“Jika ‘politiking’ yang melampau pastinya akan mengundang kebencian rakyat terhadap pemimpin pemimpin politik. Maka dengan itu, titah Seri Paduka seharusnya dijadikan panduan dan seterusnya menjadi iltizam kepada semua pihak untuk kecemerlangan negeri kita,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Dalam pada itu, Khairul berkata, Bersatu Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor cukup yakin dengan kerjasama antara parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kenyataan yang disampaikan oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkaitan tidak perlunya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri menunjukkan secara langsung beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar dan meletakkan kepentingan rakyat mendahului segalanya.

“Kerjasama ini pastinya boleh mencorakkan satu pembaharuan yang diingini oleh rakyat Sabah,” katanya.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, kendatipun begitu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada. – Oleh-AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.