Henti perbalahan politik, utamakan kebajikan rakyat

107

28 OKT: Semua Ahli Parlimen sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang mesti menghentikan segala perbalahan politik dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyatakan komitmen Ahli-ahli Parlimen dari parti itu untuk memberi sokongan padu terhadap Belanjawan 2021.

“Patik sekalian menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menasihatkan Ahli-ahli Parlimen memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup serta pemulihan ekonomi negara.

“Henti segala perbalahan politik dan utamakan kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kepada Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Selangor berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah, Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan, meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak COVID-19 daripada terus merebak.

“Justeru itu Al-Sultan Abdullah menyeru Ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat baginda supaya mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

“Seri Paduka juga mengingatkan Ahli Parlimen bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman COVID-19 ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, hari ini. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.