Gelombang ketiga, kesan fizikal, mental dirasai warga KKM

148

28 OKT: Penularan COVID-19 yang kini memasuki gelombang ketiga diakui sangat memberi kesan dari segi fizikal dan mental kepada setiap lapisan warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seperti seluruh pasukan KKM yang berada di lapangan, beliau juga ada kalanya mengalami kelesuan mental dan fizikal bagi membendung penularan COVID-19.

Katanya, ini kerana warga kerja KKM berperang dengan virus ini tanpa henti sejak 10 bulan lalu.

“Memang (mengalami kelesuan). KP Kesihatan juga berdepan tekanan tinggi. Malam pun tidak boleh tidur kadang-kadang kerana mencari jalan penyelesaian.

“Banyak yang perlu difikirkan dan dilakukan. Namun Alhamdulillah, kita semua masih boleh bertahan,” katanya pada sidang media harian COVID-19 hari ini.

Menurut Noor Hisham, dalam sesi sidang video bersama pakar-pakar kesihatan di Sabah hari ini jelas dapat dilihat semangat mereka masih tinggi.

“Mungkin soal giliran kena disusun dengan baik supaya ada rehat dalam kalangan petugas,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Lembah Klang dan Sabah menunjukkan hasil apabila kadar kebolehjangkitan COVID-19 kini pada paras 1.1, selepas dua minggu pelaksanaannya.

Katanya, ia menunjukkan pengurangan daripada unjuran pada awal gelombang ketiga jangkitan iaitu 2.2 dan unjuran kedua yang dibuat minggu lalu iaitu pada kadar 1.5.

“Kita bermula dengan gelombang ketiga pada 20 September 2020. Ketika itu kita tidak pasti dan pada perkiraan kita kadar kebolehjangkitan 2.2 iaitu kita akan melihat kes harian antara 4,500 dan 5,000.

“Tetapi kita dapati kita berjaya laksanakan PKPB iaitu di Lembah Klang dan juga di Sabah. Selepas pelaksanaan PKPB, kita lihat minggu lalu, kadar kebolehjangkitan kita menjadi 1.5,” jelasnya.

Noor Hisham berkata, biarpun ada lonjakan kes pada dua tarikh iaitu 1,228 pada 24 Oktober dan 1,240 dua hari kemudian yang menunjukkan kadar kebolehjangkitan melebihi 1.5, secara purata ia kurang daripada unjuran 1.5 yang diletakkan Kementerian Kesihatan.

Namun, katanya, kadar kebolehjangkitan 1.1 masih tidak mencukupi kerana kes masih meningkat secara perlahan-lahan.

Sehubungan itu, katanya, KKM akan terus mempertingkatkan aktiviti kesihatan awam untuk mengurangkan kadar kebolehjangkitan menjadi kurang daripada 1.

Dalam perkembangan berasingan, Noor Hisham berharap KKM menerima lebih banyak peruntukan dalam Belanjawan 2021, Jumaat depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peruntukan yang bakal diterima itu akan digunakan mempertingkatkan aktiviti dan perkhidmatan awam kepada rakyat.

“Kementerian mengharapkan lebih banyak peruntukan bagi memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, antara peruntukan berkenaan dijangka disalurkan untuk pembangunan latihan kepada pakar perubatan.

“Kementerian juga sedang melihat kepada penubuhan hospital penyakit berjangkit,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.