Beban hutang FELDA RM10.6 bilion

204

28 OKT: Bebanan hutang yang tinggi berjumlah RM10.6 bilion dan struktur modal yang tidak mampan dikenal pasti sebagai antara masalah utama yang dihadapi FELDA.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keadaan itu juga berpunca daripada sumber pendapatan yang berkurangan terutamanya terimaan bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian keuntungan yang rendah berbanding jangkaan di bawah Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).

“Kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh FELDA.

“Laporan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu FELDA ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada 14 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mustapa Mohamed
MUSTAPA MOHAMED

Menurut beliau, antara cadangan yang diterima oleh Kabinet adalah penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan, meningkatkan pendapatan teras dari tanah ladang FELDA dengan menamatkan LLA dan meningkatkan daya berdikari peneroka.

Mustapa menambah, Kabinet juga telah meluluskan cadangan penerbitan sukuk oleh FELDA bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan FELDA yang dikemukakan.

“Kedudukan kewangan FELDA dijangka mencatatkan aliran positif bermula tahun 2023 dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut.

“FELDA akan kembali ke landasannya sebagai sebuah badan yang dihormati dan berdaya maju,” jelasnya.

Beliau memberitahu, penyelesaian isu-isu yang dihadapi oleh FELDA tidak akan lengkap tanpa pengukuhan tadbir urus serta kecekapan dalam menguruskan ladang.

“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah serta pengurusan FELDA hendaklah komited meningkatkan kecekapan pengurusan dan menambah baik tadbir urus,” katanya.

Mustapa berkata, pelaksanaan cadangan-cadangan ini oleh FELDA akan dipantau secara terperinci oleh sebuah jawatankuasa pemantauan yang akan melapor kepada Perdana Menteri. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.