8 lagi kematian, kes aktif lebih 10,000

190

28 OKT: Kes aktif COVID-19 yang sedang dirawat di seluruh negara kini berjumlah 10,123 setelah 801 kes baru dilaporkan hari ini berbanding kes sembuh sebanyak 573 kes.

Hari ini juga menyaksikan lapan lagi kematian akibat COVID-19 dilaporkan selain empat lagi kluster baru dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan itu, kes kumulatif kematian kini berjumlah 246 yang bersamaan 0.84 peratus daripada jumlah kes.

Menurut beliau, tujuh kematian dilaporkan di Sabah iaitu empat di Hospital Kota Kinabalu diikuti dua di Hospital Sandakan dan satu di Hospital Tawau.

Katanya, satu lagi kematian dilaporkan di Hospital Sungai Buloh, Selangor dan daripada kes kematian terbaru hari ini, pesakit paling muda ialah seorang wanita berusia 35 tahun di Kota Kinabalu yang turut mempunyai penyakit lain.

“Daripada kes kematian hari ini, dua adalah bukan warganegara dan baki enam rakyat tempat. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga terlibat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan, daripada 10,123 kes aktif COVID-19, 94 daripadanya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 28 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, 801 kes baru yang dilaporkan hari ini melibatkan dua kes import iaitu melibatkan ketibaan dari Arab Saudi dan Iran.

“Daripada 799 kes baru hari ini, Sabah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 546 kes bersamaan 68 peratus kes.

“Selangor pula mencatatkan 88 kes dengan 35 kes dikesan daripada kluster-kluster sedia ada manakala 33 lagi hasil saringan kontak rapat.

“Ini diikuti dengan Labuan yang mengesan 29 kes, Kedah (28), Sarawak (27), Negeri Sembilan (24), Pulau Pinang (19), Kuala Lumpur (13), Terengganu (11), Johor (lapan) dan Perak,enam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pahang, Melaka, Perlis, Kelantan dan Putrajaya melaporkan sifar kes COVID-19 hari ini. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.