Tiga larangan jika pilihan raya tak dapat dielak

335

27 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan tiga larangan yang perlu diberi perhatian untuk dilaksanakan jika pilihan raya perlu diadakan dalam masa terdekat bagi membendung penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia adalah larangan rentas daerah atau pulang ke kampung; tidak boleh berkempen rumah ke rumah serta tidak boleh mengadakan perhimpunan beramai-ramai.

“KKM amat ambil berat jika ada pilihan raya berikutnya. Saranan kita supaya tiada pilihan raya lagi buat masa ini, namun jika perlu dijalankan juga maka ia perlu mematuhi tiga larangan berkenaan.

“Ini kita perlu terus berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperbaiki situasi yang ada termasuk memperluaskan kaedah undi pos dan lain-lain,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Tambah Noor Hisham, walaupun prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya telah ada, tetapi apa yang lebih penting adalah pematuhannya.

“Saya rasa kita telah melihat dan mempelajari dari Sabah (pilihan raya). Kita harap kita tidak perlu ulangi konsekuens daripada pilihan raya ini di negeri lain,” katanya.

Sebelum ini, SPR menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh PRK Parlimen, Batu Sapi, manakala 23 November sebagai tarikh penamaan calon manakala 1 Disember sebagai tarikh mengundi awal.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 4 Disember.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tutup permohonan adalah pada 13 Oktober dan 19 November 2020.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada 2 Oktober lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.