Persoal kesahihan data Covid-19, MKN bertindak

381

27 OKT: Percubaan pihak tertentu mempersoal kesahihan data rasmi yang diumum oleh Kementerian Kesihatan (KKM) setiap hari merupakan perbuatan jahat bagi menimbulkan kekeliruan rakyat terhadap usaha Kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kes itu dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, perkara ini juga antara yang dibincang dan dipandang berat dalam sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Kerajaan sejak awal menangani pandemik Covid-19 sentiasa memastikan data-data pihak KKM adalah sahih.

“Percubaan mempersoal kesahihan data rasmi KKM ini adalah perbuatan jahat untuk sengaja mencetuskan ketidakyakinan rakyat terhadap usaha Kerajaan menangani Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota memberitahu, pihaknya memberi jaminan bahawa data daripada pihak KKM yang disiar oleh saluran-saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama adalah sahih.

“Saya juga menasihati rakyat agar sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber rasmi atau boleh dipercayai serta berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya.

“Sekiranya terdapat keraguan terhadap kesahihan sesuatu berita atau maklumat, layari www.sebenarnya.my atau salurkan maklumat kepada Pasukan Respon Pantas (PRP) di talian 03-8911 5103,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.