PAS, UMNO tolak individu jejas hubungan MN

167

27 OKT: PAS dan UMNO diyakini akan mengambil tindakan membuang serta menolak mana-mana pemimpin yang cuba merosakkan hubungan Muafakat Nasional (MN) yang telah kukuh demi penyatuan ummah.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sejak MN termeterai setahun lalu, hubungan kedua parti terbesar orang Melayu itu berada dalam keadaan baik dan dekat di hati rakyat.

“Saya yakin seluruh pimpinan UMNO dan PAS menjunjung MN yang diikat kukuh dengan nama Allah.

“Namun, jika ada pemimpin yang cuba merosakkannya, saya yakin, seluruh ahli dan penyokong PAS serta UMNO akan segera menolak, bahkan membuangnya,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ

Walau bagaimanapun, Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok menegaskan bahawa kekeliruan yang berlaku tidak boleh menjadi punca dan alasan kepada kepanasan, kemarahan dan kebencian.

Tambahnya, ini merupakan ujian daripada Allah yang bertujuan menguji kekuatan dan kesabaran para hamba-Nya yang dirahmati.

“Tumpu kepada penyatuan, pemurnian dan kesepakatan. Hindari wasangka dan keraguan sesama sendiri. Kenali tipu daya musuh.

“Negara kita perlukan MN demi kesejahteraan bersama kerana tanpanya, tiadalah Perikatan Nasional (PN).

“Tuhanku, aku berlindung dengan-Mu daripada hilangnya nikmat-Mu, bertukarnya afiat-Mu, kejutan kecelakaan daripada-Mu dan segala kemurkaan-Mu,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.