Malaysia kutuk keras tindakan burukkan Islam

28

27 OKT: Malaysia mengutuk keras sebarang tindakan retorik dan proaktif yang mencetuskan kemarahan dan memburukkan agama Islam dalam bentuk ucapan dan penyiaran karikatur Nabi Muhammad SAW.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia komited kepada kebebasan bersuara sebagai perkara fundamental dalam soal hak asasi selagi hak itu dilakukan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab dan tidak melanggar hak pihak lain.

“Dalam konteks ini, untuk mencemarkan dan memburukkan Nabi Muhammad SAW dan mengaitkan Islam dengan keganasan melangkaui skop hak sedemikian.

“Tindakan sedemikian adalah provokatif dan tidak menghormati Islam dan terdapat lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hishammuddin, sebagai sebuah negara Islam yang demokrasi dan sederhana dengan pelbagai kaum dan agama, Malaysia terus mempromosi dan mengekalkan hubungan harmoni dan aman sedia ada bukan hanya dalam kalangan mereka yang berbeza kepercayaan dan pegangan tetapi juga dalam konteks global yang pelbagai.

Katanya, Malaysia akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk mempromosikan amalan hormat menghormati antara agama dan mengelakkan ekstremis agama pada semua peringkat.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron mencetuskan kemarahan dunia Islam apabila mendakwa orang Islam sebagai penganut fahaman pemisah dan menyifatkan Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Kenyataan ini berlaku selepas tindakan provokasi Charlie Hebdo, sebuah majalah berhaluan kiri Perancis yang menyiarkan karikatur anti-Islam, mencetuskan lagi kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Karikatur itu pertama kali disiarkan pada 2006 oleh akhbar Denmark, Jylllands Posten, mencetuskan siri tunjuk perasaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.