Belanjawan 2021 dirangka untuk rakyat, usah dipolitik

104

27 OKT: Kerajaan yakin Belanjawan 2021 tidak akan dipolitikkan dan mendapat sokongan jitu daripada semua Ahli Parlimen demi kemakmuran bersama negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga sudah bertitah mengingatkan semua pihak untuk memberhentikan segala politiking yang menganggu kestabilan negara.

Sebagai ahli Jemaah Menteri, beliau juga menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda dan kepercayaan yang diberikan Al-Sultan Abdullah kepada kerajaan terutamanya dalam usaha memerangi penularan COVID-19.

“Yang di-Pertuan Agong juga sudah menegaskan bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat bagi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Sehubungan itu, saya ingin berkongsi bahawa saya dan warga Kementerian Kewangan sedang berusaha dengan penuh komitmen dan dedikasi untuk menyediakan Belanjawan 2021 yang komprehensif dan tertumpu kepada kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Belanjawan 2021 akan meneruskan momentum pemulihan ekonomi yang digerakkan sejak Mei lalu serta menerusi semua pakej rangsangan ekonomi, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan LAKSANA Ke-27 pelaksanaan PRIHATIN dan PENJANA.

Tengku Zafrul juga berharap unjuran pemulihan ekonomi dapat dicapai menjelang tahun hadapan.

“InsyaAllah, moga unjuran pemulihan ekonomi dapat dicapai menjelang tahun depan. Marilah kita bersama-sama berganding bahu demi negara Malaysia yang tercinta,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.