Armada seru gencatan politik segera dilaksana

82

27 OKT: Parti-parti yang mendokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus segera menguatkuasakan gencatan politik dan memulakan dialog ke arah sebuah rekonsiliasi nasional.

Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, semua pihak haruslah istiqamah dalam ketetapan ini demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

“Armada Bersatu Malaysia mengulangi komitmen kami untuk terus mengukuhkan kerjasama bersama Dewan Pemuda PAS dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

“Ini demi perpaduan ummah yang menjadi teras kejayaan politik negara, khususnya di kalangan anak muda Malaysia,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal yang merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan memberitahu pihaknya menyambut baik kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus menyokong kestabilan politik di bawah naungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sebagai sayap pemuda parti yang memperjuangkan kepentingan bersama, kita seharusnya menjadi contoh kepada anak muda.

“Maka amatlah penting untuk kepimpinan pemuda UMNO, Pas dan Bersatu mulai duduk semeja demi kepentingan anak bangsa yang menaruh harapan tinggi kepada kita,” katanya.

Semalam, Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat pada Isnin malam mengambil pendirian mengekalkan keputusan terdahulu dengan tidak melakukan sebarang kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pada masa sama, ahli-ahli Parlimen parti itu akan terus mendukung Kerajaan PN.

Ahmad Zahid menyatakan UMNO juga menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan political consensus.

Katanya, MT UMNO juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik COVID-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang sudah dan gelisah – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.