310 kenderaan cuba langgar larangan rentas negeri

203

27 OKT: Cubaan keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan merentas negeri yang sedang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) merupakan antara kegiatan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikesan di sekatan jalan raya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 310 kenderaan telah diarah berpatah balik oleh anggota keselamatan di sekatan jalan raya semalam.

“Tiga negeri paling tinggi kenderaan diarah patah balik oleh SJR iaitu Sabah (201 kenderaan), Johor (64) dan Kuala Lumpur (45),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, suami atau isteri yang tinggal berjauhan dengan pasangan masing-masing boleh memohon kebenaran merentas negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ismail Sabri menambah, tiga negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi individu yang dikompaun atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah Kuala Lumpur (229 individu), Selangor (162) dan Perak (94).

Secara keseluruhan, menurut beliau, PDRM telah menahan 612 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam dan daripada jumlah itu, seramai 604 individu telah dikompaun manakala lapan individu lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (156), penjarakan fizikal (145), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (134), aktiviti di pusat hiburan (96) dan kesalahan-kesalahan lain (81),” jelasnya.

Berhubung Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan telah menahan seramai 7,792 pendatang asing tanpa izin (PATI), 772 tekong dan 327 penyeludup serta merampas sebanyak 212 bot atau kapal dan 815 kenderaan darat sepanjang Mei hingga semalam.

“Semalam, Ops Benteng telah berjaya menahan 56 PATI serta berjaya merampas tiga kenderaan darat,” katanya.

Sementara itu, Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 10,800 operasi sanitasi merangkumi 136 zon.

Semalam, sebanyak 31 operasi sanitasi meliputi 13 Zon Merah, 9 Zon Kuning dan 4 Zon Hijau di 10 buah negeri.

Berhubung berita palsu, beliau menjelaskan, sebanyak 273 kertas siasatan dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 136 masih dalam siasatan, manakala 35 kes telah didakwa di mahkamah, 21 kes didapati bersalah, 13 kes dalam proses perbicaraan dan 12 kes diberikan notis amaran. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.