Utamakan rakyat dalam Belanjawan 2021

117

26 OKT: Kerajaan seharusnya memberi keutamaan kepada rakyat dalam merangka Belanjawan 2021 di samping memastikan kecairan dan sumber kewangan sentiasa tersedia.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, langkah itu adalah bagi membolehkan kerajaan terus memberi sokongan kepada rakyat dan perniagaan serta pelaburan lain dalam mendepani kemelut pandemik COVID-19 dan ekonomi semasa.

Menurut beliau, UMNO percaya institusi kewangan akan sentiasa memberi jaminan bahawa perkhidmatan perbankan yang berterusan boleh terus dinikmati menerusi pelbagai platform perbankan.

NORLIZA ABDUL RAHIM
NORLIZA ABDUL RAHIM

“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar apatah lagi pandemik COVID-19 yang masih belum reda, rakyat masih terkesan dengan keadaan sedemikian.

“Jumlah pengangguran semakin meningkat, peniaga dan peruncit ramai yang gulung tikar, penjaja dan usahawan masih bertungkus-lumus mempertahankan perniagaan masing-masing dan semakin ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan.

“Semua tahu bahawa rakyat adalah pelanggan terbesar institusi kewangan dan mereka masih mengalami tekanan aliran tunai yang tinggi malah sudah semestinya mereka ini memerlukan sokongan tambahan bagi membolehkan mereka menguruskan keadaan kewangan dengan lebih baik,” katanya menerusi kenyatan media, hari ini.

Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO juga mencadangkan semua institusi kewangan serta pinjaman termasuklah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut mengambil langkah dalam meneruskan bantuan pembayaran bersasar sehingga 30 Jun 2021.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang mengalu-alukan langkah terbaik Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) yang meneruskan bantuan pembayaran bersasar yang ditawarkan kepada mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan bulanan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.

“Ini suatu langkah yang sangat murni dan prihatin oleh BIMB yang terus komited untuk membantu pelanggan mendepani tempoh semasa yang mencabar khususnya ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh negara.

“Terima kasih BIMB kerana sentiasa prihatin kepada pelanggannya serta memahami situasi ekonomi semasa negara, malahan langkah BIMB yang turut menyediakan pilihan penjadualan dan penstrukturan semula kepada pelanggan yang tidak terkesan oleh kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji

“Tetapi masih memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka mengatur semula aliran kewangan masing-masing adalah sangat dialu-alukan langkah berkenaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.