Umrah jemaah asing bermula 1 Nov

65

26 OKT: Mulai 1 November ini, kerajaan Arab Saudi membenarkan umat Islam di seluruh dunia yang berusia antara 18 hingga 50 tahun untuk mengerjakan umrah.

Memetik laporan Saudi Gazette, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan mengeluarkan permit umrah untuk jemaah asing mulai tarikh tersebut.

Pada masa yang sama, semua jemaah perlu menjalani kuarantin tiga hari selepas tiba di negara berkenaan bagi mengekang penularan COVID-19.

Kementerian berkenaan menambah, semua syarikat pengendali umrah mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengawal kehadiran jemaah.

Selain itu, jemaah perlu mempunyai sijil ujian kesihatan PCR yang menunjukkan mereka bebas COVID-19, tidak lebih daripada 72 jam selepas sampel itu diambil dan dikeluarkan oleh makmal bertauliah di negara jemaah.

“Mereka juga perlu mendapat kebenaran untuk melakukan umrah selain lawatan ke dua Masjid Suci dan melakukan solat di Rawdah Sharif dengan mendaftar di aplikasi Eatmarna.

“Setiap jemaah perlu mendapatkan tempahan penerbangan pulang selari dengan program yang diluluskan,” jelas Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Peraturan tersebut meliputi tempahan bagi tempat penginapan yang komprehensif yang turut membabitkan sekurang-kurangnya tiga kali hidangan sehari sepanjang tempoh tiga hari kuarantin.

Syarikat pengendali umrah juga perlu mengesahkan segala maklumat tepat berdasarkan pasport jemaah termasuklah tarikh lahir yang masuk ke dalam sistem umrah, sekurang-kurangnya 34 jam sebelum hari ketibaan.

Melalui sistem itu, data tiket penerbangan juga perlu ada dalam sistem, termasuk nombor tiket, nombor ketibaan pesawat, negara berlepas, masa dan tarikh pelepasan, negara ketibaan, masa dan tarikh tiba serta maklumat penerbangan lain.

Selain itu, maklumat penginapan di Mekah dan Madinah juga perlu dilengkapkan.

Ejen umrah asing yang bekerjasama dengan syarikat di Arab Saudi juga bertanggungjawab untuk melengkapkan data ini malah berdepan dengan tindakan sekiranya terdapat maklumat tidak benar.

Kementerian juga menyatakan, jemaah perlu dibahagikan kepada kumpulan dengan minimum seramai 50 jemaah dalam satu kumpulan dan syarikat umrah perlu melantik seorang ketua untuk mengawal setiap kumpulan berkenaan.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut menyatakan bahawa kementerian itu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar serta pihak berkuasa lain yang berkaitan dalam menentukan negara mana yang boleh menghantar jemaah dan kuota jemaah.

Langkah itu sejajar dengan klasifikasi dari segi pematuhan terhadap langkah-langkah pencegahan dan keperluan untuk negara masing-masing.

Kementerian berkenan juga memberikan akreditasi kepada penyedia perkhidmatan yang berkelayakan seperti hotel dan syarikat pengangkutan sesuai dengan kawalan fasa yang luar biasa ini dan keperluan pencegahan dan protokol kesihatan.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk mempamerkan perkhidmatan mereka melalui platform pemasaran elektronik yang diluluskan dalam sistem tempahan pusat dan perakuan elektronik Saudi oleh Kementerian Luar serta Kementerian Haji dan Umrah untuk kontrak yang disepakati antara ejen asing dan penyedia perkhidmatan umrah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.