PM bertemu ketua parti, menteri Kabinet

639

25 OKT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti dan mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet bagi membincangkan titah Yang di-Pertuan Agong semalam.

Terdahulu Muhyiddin yang tiba di Bangunan Perdana Putra, di sini, kira-kira jam 9.20 pagi tadi, sebelum mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut kelihatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), tiba pada jam 9.27 pagi.

Lewat malam tadi, media melaporkan pertemuan itu dipercayai membincangkan keputusan mesyuarat khas Raja-Raja Melayu petang semalam, selain beberapa urusan kerajaan.

Sumber berkata, jemputan mesyuarat dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri tengah hari semalam, iaitu sebelum mesyuarat khas Raja-Raja Melayu bermula.

Bagaimanapun agenda mesyuarat di Putrajaya itu dikatakan masih tidak diketahui.

Muhyiddin dalam satu kenyataan malam tadi berkata, Kabinet akan berbincang dengan lebih lanjut berhubung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam bahawa tiada keperluan untuk mengisytihar darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia buat masa ini.

Perdana Menteri berkata, Kabinet mengambil maklum mengenai kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara itu.

Katanya, keutamaan Kabinet dan kerajaan pada masa ini ialah melindungi rakyat daripada wabak COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.