PKPB Lembah Klang sambung hingga 9 Nov

225

26 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang bermula pada 14 Oktober lalu dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 November ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB di Lembah Klang pada mulanya dijadualkan berakhir esok.

“Walau bagaimanapun, setakat ini penilaian risiko yang dijalankan oleh anggota Kementerian Kesihatan mendapati masih terdapat lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan COVID-19.

“Mengambil kira penilaian risiko terhadap penularan wabak ini, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor selama 14 hari lagi bermula 27 Oktober sehingga 9 November 2020,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di (PKPD) di Taman Khazanah Indah dan Pangsapuri Mutiara Kasih, Lahad Datu serta Felda Umas, Kalabakan yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan lagi sehingga 9 November ini.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk dan sehingga kini masih terdapat peningkatan kes positif dikesan dalam kalangan penduduk di ketiga-tiga lokaliti tersebut.

“Walau bagaimanapun, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.
PKPD Taman Mesra dan Taman Mawar,” jelasnya.

Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di Taman Mesra dan Taman Mawar, Sandakan, Sabah bermula 28 Oktober 2020 sehingga 10 November 2020.

Beliau memberitahu, PKPD di kedua-dua lokaliti ini merangkumi 5,100 unit rumah yang melibatkan seramai 22,500 orang penduduk.

“Prosedur operasi standard (PKPD) adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” jelasnya.

PKPB juga dikuatkuasakan di Zon Nilai, Negeri Sembilan mulai 28 Oktober hingga 10 November manakala PKPD dilaksanakan di Putra Point Nilai sepanjang tempoh sama. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.