Pengurusan kes rayuan tuntutan LHDN RM1.69 bilion esok

54

26 OKT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi supaya beliau membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib ketika dihubungi media memaklumkan pihaknya memfailkan rayuan itu beberapa bulan lalu.

“Mahkamah Rayuan menetapkan esok bagi pengurusan kes,” katanya.

Pada 22 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan penghakiman terus berhubung saman dikemukakan terhadap Najib bagi menuntut jumlah tunggakan cukai berkenaan.

Ia bermakna permohonan LHDN supaya Najib membayar tunggakan cukai pendapatan itu tidak perlu dibicarakan di mahkamah.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati jumlah tunggakan cukai pendapatan tambahan berkenaan perlu dikenakan dan dibayar oleh Najib sebagai hutang kepada kerajaan.

Ia mendapati bahawa mengikut Seksyen 106 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967, mahkamah tidak boleh memenuhi permohonan Najib selaku defendan untuk mendengar rayuan bagi jumlah tunggakan yang dipertikaikan itu.

Najib bagaimanapun masih boleh mengemukakan rayuan berhubung jumlah yang dipertikaikan itu kepada Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan.

Pada 25 Jun tahun lalu, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas perdana menteri itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Kerajaan selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi LHDN dengan menamakan Najib selaku defendan tunggal.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.