Lesen baharu kurier dibeku 2 tahun

135

26 OKT: Pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier di negara ini dibekukan selama dua tahun mulai 14 September 2020 hingga 15 September 2022.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, keputusan itu dibuat dengan persetujuan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurut SKMM, langkah itu diputuskan menerusi kuasa pelesenan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 dan boleh disemak semula pada bila-bila masa berdasarkan keperluan.

Sehubungan itu, SKMM tidak akan menerima permohonan lesen baharu semua kategori untuk menjalankan perkhidmatan kurier sepanjang tempoh moratorium berkuat kuasa.

“Moratorium dilaksanakan untuk memberi laluan kepada kerajaan bersama industri pos dan kurier membuat perancangan baharu bagi memperkukuhkan sektor tersebut yang berdepan pelbagai cabaran akibat perubahan teknologi dan trend pasaran.

“Langkah ini juga sejajar dengan gesaan rasmi yang dihantar oleh Persatuan Syarikat Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) iaitu gabungan 25 syarikat kurier utama di Malaysia termasuk Pos Malaysia Berhad, GD Express Sdn Bhd, City-Link Express (M) Sdn Bhd dan lain-lain sejak Ogos lalu,” jelas SKMM.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.