Keputusan Agong terbaik untuk negara

228

26 OKT: Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tidak mengisytiharkan perintah darurat disifatkan sebagai keputusan yang terbaik untuk Malaysia.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu tersebut telah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, mengiktiraf kerja keras serta sumbangan luar biasa petugas kesihatan dan barisan hadapan negara serta mengutamakan kepentingan rakyat biasa.

“Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama Duli-Duli YMM Raja-Raja Melayu telah membuat keputusan terbaik untuk Malaysia dengan tidak mengisytiharkan perintah darurat seperti yang dicadangkan oleh Kerajaan.

“Patik yakin kerajaan Perikatan Nasional akan mengusahakan apa jua yang sewajarnya untuk menterjemahkan keputusan bijaksana ini,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook miliknya, malam tadi.

MOHAMAD HASAN
MOHAMAD HASAN

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, kendatipun begitu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, keputusan tersebut sewajarnya mendorong semua pihak tampil demi kepentingan nasional untuk bersama-sama kerajaan dalam memerangi pandemik global ini.

“Kebijaksanaan dan hikmah DYMM Tuanku dalam perkara ini meyakinkan patik bahawa institusi Raja mempunyai peranan Perlembagaan Persekutuan yang sangat penting dalam pentadbiran negara ini.

“Untuk kesekian kalinya, DYMM Tuanku serta Duli-Duli YMM Raja Raja Melayu terus mengutamakan rakyat dan kebajikan mereka dengan sebaik-baiknya.
“Menjunjung kasih Tuanku,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.