Desak letak jawatan suatu penderhakaan pada titah Agong

180

26 OKT: Gerakan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, dicetuskan oleh parti dan pemimpin politik tertentu jelas sekali satu penderhakaan kerana membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan supaya semua pihak menghentikan segera politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas tidak selari dengan titah Al Sultan Abdullah yang meminta semua ahli Parlimen tidak meneruskan tindakan yang boleh menganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

“Al Sultan Abdullah dalam kenyataan semalam jelas menegaskan kepercayaan yang tinggi beliau terhadap keupayaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak.

“Seri Paduka juga secara jelas mahu semua pihak tanpa mengira ideologi politik untuk menjayakan kelulusan Belanjawan Negara 2021 yang bakal dibentangkan Kerajaan Perikatan Nasional dalam sidang parlimen akan datang atas kesedaran peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.

“Pihak yang masih berusaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri & kerajaan jelas lebih mementingkan kepentingan politik peribadi berbanding nyawa dan kesihatan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat Malaysia cukup bijaksana untuk membuat perhitungan dan menghukum pihak yang tidak berhenti mencetuskan ketidaktentuan kerajaan, politik dan ekonomi negara pada hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Berikutan itu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.