Beri kepercayaan Muhyiddin terus pimpin negara

123

26 OKT: Semua pihak harus patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang meminta agar dihentikan politiking yang mampu menggugat kestabilan pemerintahan negara.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri Pahang menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin negara terutamanya dalam menangani isu penularan pandemik COVID-19.

Menurut beliau, ini dibuktikan dengan titah Seri Paduka Baginda bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di mana-mana bahagian di negara ini.

wan rosdy wan ismail
WAN ROSDY WAN ISMAIL

“Sehubungan itu, semua pihak perlu patuh kepada keputusan itu terutamanya berhubung saranan Seri Paduka yang meminta agar menghentikan politiking yang boleh menggugat kestabilan pemerintahan negara.

“Apa yang penting ialah gerakan bersama-sama oleh seluruh rakyat Malaysia perlu digerakkan bagi membendung pandemik COVID-19 yang dipercayai akan diberi tumpuan khusus pada pembentangan Belanjawan 2021 kelak,” katanya dalam kenyataan media melalui laman Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, kendatipun begitu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.