Apa keputusan Mesyuarat Khas Kabinet pagi tadi?

138

26 OKT: Semua menteri Kabinet enggan memberi sebarang kenyataan kepada lebih 40 wakil media massa yang menunggu hampir tiga jam bagi mengetahui hasil Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sejak jam 11 pagi.

Malah, kebanyakan menteri yang ditemui langsung tidak menurunkan tingkap kenderaan ketika melalui kawasan di mana wakil media massa sedang menunggu di perkarangan Bangunan Putra Perdana, Putrajaya yang menjadi lokasi Mesyuarat Khas Kabinet diadakan dari jam 11 pagi hingga 2 petang tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri, mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti dan mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet bagi membincangkan titah Yang di-Pertuan Agong semalam.

Muhyiddin yang tiba di Bangunan Perdana Putra, di sini, kira-kira jam 9.20 pagi tadi, sebelum mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut kelihatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), tiba pada jam 9.27 pagi.

Dalam pada itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang membuka tingkap untuk menyantuni wakil media memaklumkan beliau tidak boleh menjawab soalan dikemukakan wartawan kerana perlu bergegas ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menghadiri Mesyuarat Barisan Nasional (BN)

“Maaflah saya nak cepat ke PWTC kerana Mesyuarat BN dah nak mula,” katanya ketika disoal media sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat berkenaan atau tidak.

Hishammuddin perlu berada dalam mesyuarat berkenaan selepas beliau dilantik sebagai Bendahari Agung BN beberapa hari lalu bagi menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Difahamkan, semua Ahli Parlimen BN dipanggil untuk menghadiri mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di PWTC petang ini, namun butiran lanjut mengenai mesyuarat itu tidak didedahkan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.