Tuntutan MAHB tidak jejas penyusunan semula AirAsia X

85

25 OKT: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan tuntutan syarikat itu terhadap AirAsia X sebanyak RM78 juta tidak akan menggagalkan skim penyusunan semula hutang AirAsia X.

Menurut MAHB, hak undang-undang untuk mendapatkan kembali hutang daripada AirAsia X diteruskan kerana ia sangat penting untuk memulihara dan menyelenggara lapangan terbang.

Kenyataan itu sebagai maklum balas kepada laporan media tempatan bertarikh 24 Oktober, bertajuk “MAHB checkmates AirAsiaX”.

MAHB berkata, caj tertunggak aeronautik itu terdiri daripada caj yang dikawal selia kerajaan termasuk caj perkhidmatan penumpang, caj perkhidmatan keselamatan penumpang, caj aerobridge, caj parkir pesawat dan pendaratan, caj kaunter daftar masuk dan caj bayaran lewat.

“Wang ini akan disalurkan kembali ke dalam perniagaan bagi mengekalkan operasi lapangan terbang serta memastikan tahap layanan/perkhidmatan terus disampaikan kepada penumpang.

“Tambahan pula, hutang yang terhutang kepada kami adalah kurang daripada 0.01 peratus daripada jumlah hutang yang terhutang dalam skim ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengendali lapangan terbang turut maklum AirAsia X telah memfailkan permohonan untuk cadangan skim penyusunan semula hutang dengan pemiutang tanpa cagarannya menurut seksyen 366 Akta Syarikat 2016.

“Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) berpendapat bahawa ia adalah pemiutang yang dijamin dan dengan itu telah memohon untuk dikeluarkan daripada skim ini.

“Pengecualian MASSB dalam skim ini tidak akan “melumpuhkan rancangan AirAsia X ” mahupun “memaksa AirAsia gulung tikar” seperti yang didakwa oleh laporan itu, katanya.

MAHB mengakui bahawa industri penerbangan menghadapi masa yang sangat mencabar dan sukar akibat pandemik Covid-19.

“Semua syarikat penerbangan dan lapangan terbang berhadapan prospek yang sama dari segi penguncupan lalu lintas dan kehilangan pendapatan. Sementara beberapa syarikat penerbangan sudah jatuh teruk kerana keadaan perniagaan yang melampau, lapangan terbang turut berdepan situasi yang sama.

“Bagaimanapun, menutup lapangan terbang bukan sama sekali pilihan untuk negara. Lapangan terbang adalah infrastruktur nasional yang strategik dan penting dan ia akan terus beroperasi sepanjang pandemik ini dan perlu bertahan dengan sebaik mungkin untuk memberi perkhidmatan kepada orang awam dan memastikan negara tidak lumpuh dari segi kesalinghubungan,” katanya.

Ia berkata, Lembaga Malaysia Airports mempunyai tanggungjawab untuk bertindak demi kepentingan terbaik syarikat bagi melindungi pemegang sahamnya, infrastruktur pengangkutan udara negara dan lebih daripada 10,000 pekerja seluruh negara di bawah syarikat itu.

“Kami sentiasa melayani semua rakan penerbangan kami dengan adil dan saksama.

“Namun begitu, kami juga mengakui pentingnya AirAsia sebagai rakan utama dan kami akan terus melibatkan mereka untuk mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.