Sultan Johor doakan mesyuarat dirahmati demi kebaikan semua

4,458

25 OKT: “Semoga sidang mesyuarat ini (Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu) turut diberkati dan dirahmati Allah SWT demi kebaikan semua,” titah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerusi satu hantaran di Facebook rasmi baginda.

Dalam hantaran itu, Sultan Ibrahim juga menyeru seluruh rakyat mendoakan agar perjalanan baginda mendapat restu daripada Allah SWT.

“Pada hari ini saya berangkat ke Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu.

“Doakan agar perjalanan saya mendapat restu daripada ALlah SWT,” titah baginda.

Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Sebelum itu, beberapa keping gambar dimuat naik menerusi akaun Facebook Sultan Ibrahim sebelum baginda berangkat ke ibu negara untuk ke mesyuarat berkenaan yang berlangsung jam 2.30 petang.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim memuji peranan semak dan imbang yang dimainkan Raja-Raja Melayu dalam pentadbiran negara, ketika satu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan cadangan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tunku Ismail berkata, situasi sekarang adalah petunjuk jelas yang menunjukkan apa yang akan berlaku bila kuasa mentadbir diberikan sepenuhnya kepada orang-orang politik sahaja. 

Baginda bertitah, dalam situasi sekarang yang paling penting adalah kebajikan rakyat harus sentiasa diutamakan dan pemulihan ekonomi dapat terus bergerak dengan lancar. 

“Semoga Allah memberkati kebijaksanaan Raja-Raja Melayu untuk menjaga kestabilan negara dan melindungi negara daripada ancaman orang-orang yang tamak dan menggilakan kuasa demi kepentingan peribadi.

“Doa dan harapan saya adalah kestabilan. Semoga Allah sentiasa memberkati Raja-Raja Melayu,” tulis Tunku Ismail dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Abdul Aziz di Kuantan.

Istana Negara menjadi tumpuan hari ini kerana Raja-Raja Melayu akan membincang dan memperincikan cadangan dikemukakan Mesyuarat Khas Kabinet berhubung isu-isu semasa.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dibentangkan Muhyiddin.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran cadangan dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada Seri Paduka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.