SOP PKPB sama di seluruh Sabah

223

25 OKT: Empat daerah di Sabah yang sebelum ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran berakhir esok akan turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa sehingga 9 November ini.

Ia melibatkan daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan semalam mengumumkan PKPB di seluruh Sabah, mulai Selasa ini hingga 9 November ini.

“PKPB seluruh Sabah akan meliputi seluruh daerah-daerah di Sabah termasuk Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang sepatutnya berakhir esok, 26 Oktober.

“PKPB dan prosedur operasi standard (SOP) di empat daerah ini juga sama seperti PKPB Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, seramai 54,312 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 65 Hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan, sejak 24 Julai sehingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 8,683 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 45,248 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Beliau berkata mereka telah pulang dari 35 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE,Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia dan Maldives.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.