Sembilan lagi kluster baru

413

25 OKT: Kementerian Kesihatan mengesan sembilan lagi kluster baharu COVID-19 hari ini, dengan empat daripadanya dikesan di Sabah.

Keseluruhannya, 34 kluster melaporkan kes baru hari ini termasuk Kluster Utama, Selangor yang mencatatkan tiga kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata empat kluster baharu di Sabah itu ialah Kluster Titir di Keningau, Kluster Omadal di Semporna, Kluster Bandaran di Kota Kinabalu dan Kluster Jambul di Sandakan.

Beliau berkata, lima lagi kluster ialah Kluster Bayan di Seberang Perai Utara, Barat Daya dan Timur Laut, Pulau Pinang serta Kluster Mentari membabitkan Petaling, Klang dan Gombak, Selangor, Seremban, Negeri Sembilan dan Kepong, Kuala Lumpur.

Selain itu, Kluster Jernih di Seremban, Kluster Seladah di Kuching dan Serian, Sarawak serta Kluster Makekar membabitkan Johor Bahru dan Kulai, Johor, Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan Marang, Terengganu dan Klang, Selangor.

“Kluster Penjara Seberang Perai mencatatkan kes tertinggi iaitu 94 kes dan diikuti Penjara Kepayan 75 kes. Pada masa kini terdapat 116 kluster aktif. Sebanyak 109 kluster telah tamat

“Kluster Titir membabitkan daerah Keningau di negeri Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-20232) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kendiri pada 18 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Keningau.

“Sehingga 25 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 23 individu telah disaring dan dikesan positif COVID-19 (12 kes baharu),” katan dalam kenyataan media mengenai perkembangan kes jangkitan COVID-19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Kluster Omadal dikesan di daerah Semporna di negeri Sabah dengan kes indeksnya (iaitu kes ke-21073) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 18 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin PPR Bubul Ria, Semporna.

Dr Noor Hisham berkata, saringan kontak rapat telah mengenal pasti 20 lagi kes positif COVID-19 dan sehingga kini sejumlah 188 individu sudah disaring di mana 21 kes dikesan positif (9 kes baharu) dan 167 individu negatif.

Katanya, kluster ketiga adalah Kluster Bandaran dikesan di daerah Kota Kinabalu di negeri Sabah dengan kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-18471) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

Beliau berkata, saringan kontak rapat telah mengenal pasti 11 lagi kes positif COVID-19 dan sehingga 25 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 41 individu telah disaring, di mana 12 kes dikesan positif COVID-19 (5 kes baharu); dan 29 kes dikesan negatif.

“Kluster keempat ialah kluster Jambul melibatkan daerah Sandakan di negeri Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-14932) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 9 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti tujuh (7) lagi kes positif COVID-19. Sehingga 25 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 30 individu telah disaring, di mana 8 kes dikesan positif (1 kes baharu); 20 individu negatif; dan dua individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi kluster baharu ialah Kluster Bayan membabitkan daerah Seberang Perai Utara, Barat Daya dan Timur Laut di negeri Pulau Pinang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-22930) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 21 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lima lagi kes positif COVID-19. Sehingga 25 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 216 individu telah disaring, di mana enam kes dikesan positif COVID-19 (2 kes baharu); 60 individu negatif; dan 150 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Kluster baharu keenaman ialah kluster Mentari dikesan di daerah Petaling, Klang dan Gombak di negeri Selangor, daerah Seremban di Negeri Sembilan dan daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-24394) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 22 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 16 lagi kes positif COVID-19.

“Sehingga 25 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 93 individu telah disaring, di mana 17 kes dikesan positif COVID-19 (5 kes baharu); dan 10 kes dilaporkan negatif; dan 66 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, kluster baharu Jernih pula membabitkan daerah Seremban di Negeri Sembilan di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-24435 hingga kes ke-24438) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan sebelum pulang ke negara asal pada 22 Oktober 2020 dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Rembau.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 11 lagi kes positif COVID-19 dan sehingga 25 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 76 individu telah disaring, di mana 15 kes dikesan positif COVID-19 (11 kes baharu); dan 61 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Kluster baharu kelapan ialah kluster Seladah yang berlaku di daerah Kuching dan Serian, negeri Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-24448) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 22 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti enam lagi kes positif COVID-19 dan sehingga 25 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 18 individu telah disaring, di mana tujuh kes dikesan positif COVID-19 (4 kes baharu); Empat individu dikesan negatif; dan tujuh individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata kluster terakhir ialah kluster Makekar yang dikesan daerah Johor Bahru dan Kulai di negeri Johor, daerah Kemaman dan Dungun, Kuala Terengganu dan Marang di negeri Terengganu serta daerah Klang di negeri Selangor.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-23800) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 18 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti sembilan lagi kes positif COVID-19.

“Sehingga 25 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 132 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif COVID-19 (8 kes baharu); 106 individu dikesan negatif COVID-19 dan 16 individu masih menunggu keputusan,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.