Raja-raja Melayu mula tiba di Istana Negara

671

25 OKT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Istana Negara dari Kuantan, Pahang, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Seri Paduka yang diiringi polis dan anggota keselamatan sempat melambaikan tangan kepada petugas media yang bersedia di pekarangan Istana.

Kemudian rombongan kenderaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dilihat tiba memasuki pekarangan Istana Negara kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berangkat ke Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini – FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Berdasarkan hantaran Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim mengesahkan berangkat ke mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara jam 2.30 petang ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kemudian tiba pada jam 2.15 petang, diikuti Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah beberapa minit kemudian dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada jam 2.22 petang.

Ia disusuli Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada jam 2.24 petang, diikuti Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail kira-kira empat minit kemudian dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 2.30 petang.

Bagaimanapun, wakil media tidak dapat mempastikan sama ada mesyuarat khas berkenaan turut disertai Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Yang di-Pertuan Agong bersama Raja-Raja Melayu bermesyuarat bagi membincangkan cadangan yang dipersembahkan kerajaan, khususnya mengenai langkah-langkah membendung penularan COVID-19.

Ini seperti mana dipersembahkan kepada Seri Paduka oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadap Seri Paduka di Kuantan, Jumaat lalu.

Terdahulu, wakil-wakil media mula memenuhi pekarangan Istana Negara seawal jam 11 pagi tadi lagi.

Polis sebelum ini mengingatkan mereka supaya mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dibentangkan Muhyiddin.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran cadangan dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada Seri Paduka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.