PM menjunjung kasih pada Agong atas kepercayaan

582

25 OKT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Jemaah Menteri akan mengadakan perbincangan lebih lanjut berhubung titah Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Muhyiddin berkata, Jemaah Menteri mengambil maklum kenyataan Istana Negara mengenai pendapat Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara atau mana-mana bahagian di Malaysia sekarang.

“Jemaah Menteri akan berbincang dengan lebih lanjut akan titah Seri Paduka Baginda Tuanku. Keutamaan Jemaah Menteri dan kerajaan pada masa ini untuk melindungi rakyat daripada Covid-19.

“Saya menjunjung kasih di atas kepercayaan Seri Paduka Baginda kepada kerajaan pimpinan saya dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu gugat,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas titah Al Sultan Abdullah yang berpandangan tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, namun demikian Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

“Adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.

“Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

“Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan Kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan,” katanya. –Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.