Diktator: Azmin bidas Anwar tak bertanggungjawab

3,451

25 OKT: Dakwaan bakal wujud kerajaan diktator jika negara melaksanakan darurat adalah satu cubaan pembangkang untuk menakutkan dan menyemai kebencian dalam kalangan rakyat.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kenyataan itu jelas satu tindakan melulu dan tidak bertanggungjawab terhadap usaha bersungguh kerajaan menjamin kesihatan, keselamatan awam serta pemulihan ekonomi kesan daripada penularan COVID-19.

“Biar kita jelas. Musuh sebenar kita adalah COVID-19 dan kita mesti menghargai pengorbanan dan usaha barisan hadapan kita yang sudah berusaha keras siang dan malam melawan pandemik membunuh ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika mengulas dakwaan dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, menyifatkan laporan media yang menyebut kemungkinan kerajaan akan melaksanakan darurat memungkinkan negara menjadi kerajaan diktator.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, sikap Anwar begitu dikesali kerana memilih jalan untuk membangkitkan ketidakstabilan dan menyemai kebencian ketika dirinya mendakwa memperoleh majoriti meyakinkan di Parlimen untuk membentuk kerajaan baru dan meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

“Ini jelas satu watak individu yang gila kuasa yang didorong oleh kepentingan sendiri dan sikap ego seolah-olah jawatan Perdana Menteri menjadi hak miliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, ketika ini apa yang diperlukan adalah semua pemimpin politik bersama dengan rakyat dan kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19, dengan segala sumber yang ada perlu digembleng bersama bagi menjamin kesihatan awam terjaga, kerancakan ekonomi berjalan lancar serta sektor pekerjaan terjamin.

“Rakyat terutama yang makan gaji dan mereka yang berada di pelbagai sektor, dapat terus memperoleh pendapatan yang terjamin dan stabil, melindungi keluarga mereka dan boleh menikmati makanan di atas meja,” katanya.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada agensi penguatkuasaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksana semua aktiviti pemantauan secara berkesan.

Justeru, Mohamed Azmin berkata agensi berkenaan mesti diberi kuasa melalui proses Perlembagaan untuk melaksanakan tindakan pantas terhadap semua ancaman termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang begitu berisiko tinggi menyebarkan COVID-19 atau penyakit berjangkit lain.

“Dalam keadaan seperti ini, adalah wajar dan tepat untuk kita berdiri bersatu di belakang semua usaha untuk mengurangkan pandemik dan meratakan keluk sambil memastikan gangguan minimum terhadap ekonomi.

“Saya menyeru semua pemimpin politik untuk bersama-sama dengan rakyat dan kerajaan pada saat yang sangat mencabar ini untuk berdiri sebagai satu dan bersatu dalam memerangi wabak ini yang belum pernah terjadi sebelumnya, untuk mengesampingkan kepentingan politik dan kepentigan lain untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.