COVID-19: Sepanyol di ambang darurat

235

25 OKT: Selepas merekodkan lebih sejuta kes COVID-19, Sepanyol kini bersiap siaga menghadapi kemungkinan darurat kebangsaan yang baharu diisytihar untuk membolehkan perintah berkurung dikuatkuasakan.

Ia susulan desakan pelbagai wilayah semalam, agar tindakan berkenaan diambil bagi mengekang jangkitan COVID-19 yang semakin melonjak.

Justeru, Kabinet Perdana Menteri, Pedro Sanchez dijadual mengadakan mesyuarat khas pada jam 10 pagi ini (3 petang Malaysia) untuk membuat keputusan berhubung perkara terbabit.

Pihak kerajaan dalam satu kenyataan memaklumkan, barisan menteri ‘akan mengkaji syarat untuk darurat kebangsaan yang baharu’.

Menurut kenyataan itu, usul terbabit disambut baik oleh kebanyakan komuniti autonomi di Sepanyol yang telah memohon supaya langkah berkenaan diambil.

Sepanyol merekodkan jumlah lebih sejuta kes COVID-19, sekali gus muncul negara keenam melepasi angka mengerikan itu di dunia dan yang pertama dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Setakat ini, sembilan daripada 17 wilayah autonomi Sepanyol telah mengemukakan permohonan rasmi supaya kerajaan mengisytiharkan darurat kebangsaan.

Perisytiharan itu bakal membolehkan mereka menguatkuasakan perintah berkurung yang semakin banyak dilaksanakan di seluruh Eropah.

Sebelum ini, Sepanyol menggunakan ‘kuasa’ sedemikian pada Mac lalu untuk menguatkuasakan antara perintah berkurung paling ketat di dunia.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.