COVID-19: NS tutup 199 sekolah agama di Seremban

163

25 OKT: Sebanyak 199 institusi pendidikan Islam di zon merah Covid-19 di daerah Seremban ditutup 14 hari bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli berkata, antara institusi terbabit adalah Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan Kelas Agama Petang (KAP) yang beroperasi di premis Kementerian Pendidikan.

Turut sama, Sekolah Menengah Islam (SMI), Sekolah Rendah Islam (SRI) dan SRI yang menjalankan kelas KAFA, Tadika Islam, Maahad Tahfiz, Madrasah/Pondok serta pusat pengajian berdaftar dengan JHEAINS.

“Sekolah dan institusi pendidikan Islam yang mempunyai asrama juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil pelajar atau murid yang tinggal di asrama untuk dibawa pulang ke rumah.

“Pelajar yang belum diambil ibu bapa perlu berada dalam jagaan dan pemantauan pentadbir sekolah atau warden, manakala yang kekal di asrama tidak dibenarkan keluar dari kawasan.

“Keperluan makan dan minum pelajar sepanjang tempoh penutupan akan disediakan oleh pentadbir sekolah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pentadbir sekolah juga perlu memastikan guru meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di rumah.

Pihaknya akan terus memantau usaha mengekang penularan wabak Covid-19 bersama agensi berwajib.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengarahkan penutupan semua sekolah di Seremban yang dikelaskan Zon Merah Covid-19 bermula 25 Oktober hingga 9 November ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.