Bagaimana agaknya darurat boleh hancurkan ekonomi?

466

25 OKT: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menempelak kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa pelaksanaan ‘darurat’ akan menyebabkan ekonomi negara hancur.

Berikutan itu Annuar yang juga Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN) dan Barisan Nasional (BN) menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa pelaksanaan darurat akan menyebabkan sistem ekonomi negara musnah.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Ketereh itu mendakwa, ekonomi negara akan hancur jika Malaysia terus dilanda masalah ketidakstabilan politik, perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin politik dan kegagalan mengawal penularan wabak penyakit.

“Saya mahu belajar lebih lanjut bagaimana agaknya darurat boleh hancurkan ekonomi. Yang saya faham, ketidakstabilan politik, perebutan kuasa orang politik, kagagalan kawal pendemik telah pun melumpuhkan ekonomi.

“Pertumbuhan ekonomi dalam situasi pandemik perlukan langkah berani dan tegas,” kata Annuar dalam ciapan terbaharu menerusi akaun Twitternya sebentar tadi.

Terdahulu, Annuar menegaskan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja bagi menentukan sama ada perlu atau tidak darurat dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Annuar berkata, beliau akan patuh dengan apa yang bakal diputuskan oleh Al-Sultan Abdullah yang turut membincangkan keperluan mengadakan darurat di Malaysia dengan Majli Raja-Raja hari ini.

“Setiap kali negara berdepan masaalah besar, sistem Raja Berperlembagaan negara kita tidak pernah mengecewakan. Selamat bersidang Duli Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu. Daulat Tuanku!

“Ramai yang nak bercakap tentang darurat tapi tak faham apa pun. Ramai juga yang faham, tapi tak nak bercakap. Namun insya-Allah semakin hari semakin faham. Sama ada ia di laksana atau tidak, adalah hak dan kata putus Yang di-Pertuan Agong. Baginda memilih untuk berunding dengan Majlis Raja-Raja. Kita bersetia,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar memuji UMNO Johor yang tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan media bagi membantah cadangan kerajaan untuk melaksanakan darurat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Ini yang saya namakan kebijaksanaan bangsa Johor. Tidak terburu buru, kenyataan yang cermat. Syabas. Dapatkan maklumat lanjut dan terperinci. Kemudian fikir masak-masak. Apa lagi dalam keadaan kita berdepan dua situasi yang belum pernah kita alami,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.